Colombia, Jepun lengkapkan pasukan 16 terbaik - Utusan Malaysia

Colombia, Jepun lengkapkan pasukan 16 terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Pasukan pilihan, Colombia dan wakil Asia, Jepun sah menjadi pasukan terakhir yang melengkapkan 16 pasukan terbaik yang bakal bersaing dalam pusingan kalah mati kejohanan Piala Dunia 2018.

Colombia yang mewakili benua Amerika Selatan berjaya menewaskan Senegal 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan H di Arena Samara yang secara tidak langsung muncul sebagai juara kumpulan.

Dalam aksi penuh sengit itu, jaringan pemain pertahanan, Yerry Mina pada minit ke-74 sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat negaranya sekali gus menyingkirkan Senegal daripada peringkat kumpulan.

Sementara itu, Jepun muncul satu-satunya pasukan dari Asia yang berjaya meloloskan diri ke pusingan kedua meskipun tewask 0-1 di tangan Poland dalam aksi yang berlangsung di Arena Volgograd sebentar tadi.

Poland yang sudah sah tersingkir awal mempamerkan semangat juang tinggi apabila pemain pertahanan Jan Bednarek merembat kencang gol pada minit ke-59 sekali gus menyaksikan pasukan Eropah itu pulang dengan penuh bermaruah.

Keputusan tersebut membolehkan Jepun mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati buat kali ketiga dalam sejarah negara itu selepas berbuat demikian pada edisi 2002 dan 2010.

Lebih menarik, Jepun yang berkongsi mata dengan Senegal selepas mengutip empat mata dalam tiga perlawanan mara atas tiket ‘fairplay’ yang mama pemain pasukan itu hanya meraih empat kad kuning berbanding Senegal yang mendapat enam kad kuning.

Malah, negara Samurai Biru itu muncul sebagai pasukan Asia terakhir yang masih beraksi di Piala Dunia selepas Australia, Arab Saudi, Korea Selatan dan Iran tersingkir daripada peringkat kumpulan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN