Colombia intai laluan pusingan kedua penuh bergaya - Utusan Malaysia

Colombia intai laluan pusingan kedua penuh bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAZAN, Rusia – Pasukan No. 16 dunia, Colombia berjaya membuka semula laluan mereka ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Poland pada aksi kedua Kumpulan H Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA di Kazan Arena, Kazan, Rusia sebentar tadi.

Gol menerusi pemain pertahanan Yerry Mina pada babak pertama dan jaringan Radamel Falcao serta Juan Cuadrado pada babak kedua sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat wakil dari Amerika Selatan itu selepas dikejutkan 1-2 oleh Jepun pada perlawanan pertama.

Sementara Poland, pasukan No. 8 dunia pula terpaksa menelan kepahitan akibat kekalahan kedua mereka ini yang sekali gus menutup terus peluang untuk layak ke pusingan kalah mati.

Kedua-dua pasukan turun dalam pertemuan ini dengan misi mencari kemenangan selepas masing-masing tumpas 1-2 kepada Senegal dan Jepun.

Perlawanan dilihat agak seimbang pada babak pertama dengan kedua-dua pasukan ini gagal merencanakan serangan dengan teratur selain kerap hilang bola di kawasan gol pihak lawan.

Poland yang dipimpin penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski lebih banyak mengawal bola namun Colombia berjaya menghalang setiap cubaan mereka mendekati pintu gol mereka.

Ketika penonton di stadium disajikan dengan aksi hambar kedua-dua pihak, Colombia mula mendapat rentak hasil gabungan trio bintang mereka, James Rodriguez, Radamel Falcao dan Juan Cuadrado.

Hasilnya, mereka berjaya mendahului Poland 1-0 menerusi tandukan Mina lima minit sebelum rehat hasil daripada set piece menarik sepakan penjuru.

Poland pula cuba bangkit di babak kedua, namun gerakan yang diatur mudah dibaca pemain Colombia.

Sebaliknya, Colombia yang mengawal tempo permainan babak kedua dengan baik, berjaya memerangkap Poland menerusi gerakan lincah Cuadrado di sayap kanan, sekali gus mencipta peluang untuk Falcao menjaringkan gol kedua pada minit ke-70.

Hasrat Poland untuk mengurangkan defisit gol kemudian terus musnah apabila Cuadrado meledakkan gol ketiga Colombia selang lima minit kemudian hasil umpanan cantik Rodriguez.

Keputusan kekal 3-0 sehingg tamat permainan.

Kemenangan ini menyaksikan peluang Colombia mara ke pusingan kalah mati masih terbuka dan perlu menang ke atas Senegal pada baki terakhir perlawanan.

Mereka bagaimanapun berpotensi untuk tersingkir sekiranya mencatat keputusan seri manakala Jepun pula menang ke atas Poland. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN