China cuba takutkan negara jiran - Utusan Malaysia

China cuba takutkan negara jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis mendakwa tindakan China membina infrastruktur persenjataan canggih di Laut China Selatan bertujuan menakut-nakutkan dan mengugut negara jiran.

Bercakap pada persidangan ke­selamatan berprofil tinggi di sini, ke­tua Pentagon itu juga berkata, Beijing didapati membina kelengkapan ketenteraan termasuk misil anti­kapal, misil darat ke udara dan sistem penyesak elektronik di kawasan Laut China Selatan.

Semua itu dibina di pulau buatan kecil dengan ciri-ciri kemudahan maritim selain prasarana ketente­raan kekal.

Beijing sebelum ini didakwa mendaratkan pesawat pengebom di Pulau Woody yang terletak di kawasan Kepulauan Paracel.

“Walaupun China enggan me­ngakui, penempatan sistem persenjataan ini berkait secara langsung dengan aktiviti ketenteraan bagi tujuan menakut-nakutkan dan ugutan,” kata Mattis pada Dialog Shangri­-La.

Beliau turut mendesak Presiden China, Xi Jinping supaya berpegang kepada janji pada tahun 2015 yang dibuat di White House bahawa Beijing tidak akan mengadakan aktiviti pembangunan ketenteraan di pulau di Laut China Selatan.

Mattis turut menegaskan bahawa AS akan terus kekal bersama negara sekutu di rantau Asia Pasifik meskipun tidak disenangi oleh China.

Sementara itu, Matis turut berkata, tentera AS akan terus memberi sokongan kepada dunia dalam memberi tekanan kepada usaha melucutkan senjata nuklear oleh Korea U­tara secara ‘muktamad, lengkap dan kekal’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN