KUALA LUMPUR 1 Jun- Pelakon jelita Rozita Che Wan memberitahu langkah kerajaan untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai hari ini adalah sesuatu yang tepat.

Jelasnya sebagai pengusaha untuk tiga perniagaan, selain gembira dengan pemansuhan tersebut, dia juga cukup lega kerana tidak lagi terbeban dengan perkara itu.
“Seronok sangat sebab sebelum ini memang terbeban.Bayangkan kalau peniaga seperti saya pun terasa apatah lagi pengguna di luar sana.
“Memang GST sebelum ini memberi kesan kepada semua, saya rasa bukan saya sahaja yang gembira tetapi mereka yang selama ini yang terbeban juga sangat bersetuju dengan langkah ini,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai harapannya sempena pembentukan kerajaan baru, kata Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, sebagai anak seni dia juga mengharapkan sesuatu yang lebih positif.
“Saya difahamkan akan ada satu sesi taklimat dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada minggu hadapan. Sebagai sebagai pemilik syarikat produksi saya harap ada peluang untuk produk saya ditayangkan di RTM.
“Saya tidak mahu apa-apa jawatan dalam industri seni, cukuplah apa yang ada sekarang ini. Tidak perlu tambah serabut mahu pegang jawatan apa-apa,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan artis, Indigital dan LOL Entertaiment.- UTUSAN ONLINE










