ALOR SETAR – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menyerahkan kepada UMNO negeri dalam mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung kemelut pelantikan calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum persidangan DUN negeri bermula 4 Julai ini.
Beliau berkata, setakat ini UMNO belum membuat keputusan rasmi sama ada menyokong atau menolak cadangan nama calon Speaker yang bakal dikemukakan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, katanya, UMNO negeri sedia membuka pintu rundingan dengan kerajaan negeri dan Pas sebelum membuat keputusan rasmi mengenai pelantikan Speaker.
“Saya telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri (Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah) dan dua daripada tiga Ahli DUN Barisan Nasional (BN). Mereka akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan bersama,” katanya.










