Cadangan Pas hanya memakan diri sendiri - Utusan Malaysia

Cadangan Pas hanya memakan diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jun – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menganggap kesediaan beberapa pihak terutama Pas untuk melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan semula, bakal memakan diri sendiri.

MUKHRIZ MAHATHIR
MUKHRIZ MAHATHIR

Tambah­an pula katanya, Kerajaan Pakatan Harapan Kedah menjang­kakan isu mengenai pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diselesaikan sebelum persidangan pertama DUN diadakan pada 1 Julai ini.

Menurut beliau, pihaknya sedang berunding dengan pembangkang di negeri itu mengenai isu berkenaan dan disambut baik oleh mereka yang terlibat.

“Saya tahu Pas menyatakan kesediaannya jika PRN mahu diadakan. Tetapi saya merasakan hal ini akan memakan diri mereka jika mahu pilihan raya diadakan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya dekat sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan membolot 18 kerusi DUN negeri manakala Pas mendapat 15 kerusi dan tiga kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Kedah berkemungkinan besar terpaksa mengadakan sekali lagi PRN jika kerajaan dan pembangkang daripada Pas serta BN gagal mencapai persetujuan dalam soal pemilihan Speaker DUN.

Kata Mukhriz, pihaknya sedang berunding dengan pembangkang di negeri itu mengenai isu berkenaan dan disambut baik oleh mereka yang terlibat.

“Kita merancang mengadakan sidang DUN pada 1 Julai ini, namun beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu. Saya yakin hal ini berjalan dengan baik dan tidak terlalu risau mengenainya,” katanya.

Mukhriz bagaimanapun melihat tiada keperluan untuk mengadakan semula pilihan raya kerana akan melibatkan kos yang tinggi.

“Saya difahamkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, mengadakan semula pilihan raya akan memakan belanja tidak kurang RM18 juta.

“Ini sangat mahal, membuang masa serta semuanya kepenatan selepas pilihan raya yang lalu dan tiada sesiapa yang mahu menghadapi pilihan raya sekali lagi sekarang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN