Cadang nama baru calon MB Perlis - Utusan Malaysia

Cadang nama baru calon MB Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jun – Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis hanya boleh diselesaikan dengan mengemukakan cadangan nama calon baharu yang boleh diterima oleh semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN) dan istana.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man masing-masing perlu mencadangkan nama calon baharu untuk memegang jawatan tersebut, sekali gus membolehkan urusan pentadbiran negeri dilaksanakan.

“Cadangan yang boleh Pergerakan Pemuda UMNO ketengahkan untuk mencari calon bagi Menteri Besar Perlis adalah calon baharu yang dipersetujui oleh BN negeri dan boleh mendapat perkenan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Atas sebab itu semua pihak perlu ke meja rundingan dan bersama-sama mencari satu nama yang boleh terima. Perkara ini boleh atasi tapi perlu ada iltizam politik yang tinggi daripada semua,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Berbuka Puasa Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Dalam hal sama, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kemelut tersebut perlu dilihat dengan semangat demokrasi kerana BN berjaya memperoleh majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

“Sudah pasti BN mempunyai hak untuk mencadangkan siapa yang bakal jadi Menteri Besar Perlis. Jadi dalam hal ini, perlu ada imbangan dalam nama baharu yang bakal dicadangkan,” katanya.

Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis yang sudah berlarutan hampir sebulan sehingga menyebabkan negeri di utara tanah air itu menjadi satu-satunya masih belum melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kini dilihat semakin kusut dan sukar untuk diselesaikan. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN