ISTANBUL 24 Jun – Rakyat Turki mengundi hari ini dalam pilihan raya Presiden dan Parlimen yang bakal memberikan cabaran terbesar kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinannya selepas lebih sedekad memegang tampuk pemerintahan.
Pilihan raya itu juga dilihat sebagai penentu kepada kuasa eksekutif baharu yang dinantikan Erdogan khususnya selepas mendapat sokongan majoriti kecil rakyat Turki melalui pungutan suara 2017 selain cubaan rampasan kuasa oleh tentera pada 2016 yang mengorbankan ratusan nyawa.
Pengkritik berpendapat, pilihan raya tersebut akan menenggelamkan sistem demokrasi negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu dan mengukuhkan konsep kekuasaan mutlak pemimpinnya.
Lebih 56 juta pengundi berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mereka di 180,000 pusat undi di seluruh negara bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang waktu tempatan.
Enam calon bertanding untuk merebut jawatan Presiden, dan jika salah seorang daripada mereka berjaya memperoleh lebih daripada 50 peratus undi, calon berkenaan akan dipilih secara automatik.
Bagaimanapun jika tiada yang mencapai peratusan tersebut, dua calon dengan majoriti tertinggi akan berdepan undian pusingan kedua pada 8 Julai ini.
Erdogan yang merupakan pemimpin paling popular dan lantang dalam sejarah Turki moden mengadakan pilihan raya lebih awal berbanding tarikh sebenar pada November tahun depan.
Beliau menegaskan, mandat kuasa baharu akan membantu beliau menangani masalah ekonomi negara dan krisis pemberontak Kurdis di tenggara Turki, Iraq dan Syria.
Erdogan berdepan saingan sengit calon Presiden Parti Rakyat Republikan (CHP), Muharrem Ince yang menarik kehadiran ribuan rakyat Turki ketika berkempen semalam.
Ketika menghadiri perhimpunan di Istanbul, Ince berjanji untuk mengubah pemerintahan autoritarian yang dibawa Erdogan di negara dengan 81 juta penduduk itu.
Beliau juga berjanji untuk menamatkan perintah berkurung yang dikuatkuasakan oleh Erdogan selepas 48 jam jika dilantik sebagai Presiden baharu Turki. – REUTERS










