KUALA LUMPUR 1 Jun – Cabaran Bola Keranjang 3 on 3 Iskandar Investment (IIB) bakal menjadi medan terbaik buat pencarian bakat baharu menghadapi Sukan Malaysia 2018 selain menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) itu di jadual berlangsung pada 13 hingga 14 Julai ini di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor dan turut mendapat kerjasama Persatuan Bola Keranjang Negeri Johor (JSBA).
Sebanyak 14 kategori bakal dipertandingkan dalam kejohanan tersebut dengan hadiah terkumpul sebanyak RM16,000 yang terbanyak pernah ditawarkan di selatan tanahair.
Antara kategori dipertandingkan ialah 12 tahun, 14 tahun, 16 tahun, 18 tahun dan 21 tahun selain daripada kategori Terbuka dan Sekolah Berasrama Penuh bagi atlet-atlet lelaki dan wanita yang bersaing.
Ketua Pegawai Iskandar Investment Berhad, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, Johor mempunyai banyak kemudahan-kemudahan sukan yang baik selain sangat bertuah kerana mempunyai banyak atlet-atlet baharu yang boleh diketangahkan dalam kejohanan tersebut.
“Kepesatan pembangunan sukan bola keranjang 3-on-3 adalah antara yang terpantas di dunia, terutamanya di bandar-bandar besar malah Ia telah disenaraikan sebagai salah satu sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
“Salah satu misi kami adalah untuk menerapkan gaya hidup sihat yang berteraskan sukan dalam kalangan penduduk di Iskandar Puteri dan seterusnya, mempromosikan kawasan ini sebagai satu destinasi sukan yang unggul.
“Melalui inisiatif seperti ini, IIB berharap dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk Malaysia,” kata Ir. Khairil Anwar.
Sementara itu, Presiden JSBA, Datuk Daniel Lee berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan IIB dalam penganjuran kejohanan yang diadakan buat pertama kali di Iskandar Puteri.
“Ini adalah satu pencapaian yang besar di dalam pembangunan sukan bola keranjang di negeri Johor.
“Kejohanan ini juga adalah platfom yang terbaik untuk ketengahkan bintang-bintang baharu dan berfungsi sebagai satu medan latihan untuk atlit-atlit profesional yang akan bertanding dalam Sukan Malaysia Ke-14 di Perak pada bulan September ini,” kata Daniel.
Tarikh tutup pendaftaran untuk kejohanan ini adalah 7 Julai 2018 dan pendaftaran boleh dibuat melalui JBE Hoops Stations Skudai Parade melalui nombor telefon +6075565370 atau melalui aplikasi Spotify https://www.sportifyapp.com/jsba-3×3-basketball-challenge-2018/.










