KUCHING 8 Jun – Nasib malang menimpa seorang buruh apabila maut dirempuh kereta ketika berlari melintas jalan di Jalan Bako, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu, mangsa, Gelin Rangi, 41, dari Kampung Tuba, Sebuyau disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati mangsa berlari melintas jalan berkenaan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Proton Saga BLM.
“Pemandu kereta berusia 26 tahun cuba menukar laluan bagi mengelak melanggar mangsa tetapi gagal.
“Rrempuhan mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan cedera parah di kepala,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










