KUCHING – Seorang buruh kasar maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika dipercayai berlari melintas jalan di Jalan Bako di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, mangsa, Gelin Rangi, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepalanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan berlari melintas jalan berkenaan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Proton Saga BLM.
Katanya, pemandu kereta berusia 26 tahun itu dikatakan cuba mengelak dengan menukar laluan namun masih melanggar mangsa yang berasal dari Kampung Tuba, Sebuyau.
“Impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan dan cedera parah di kepalanya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Alexson menambah, lelaki yang memandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. – K! ONLINE











