KUALA LUMPUR 25 Jun – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini didorong laporan berita positif minggu lepas mengenai pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkuat kuasa 1 Julai, 2018.
Pada 9.07 pagi hari ini, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.15 mata kepada 1,702.30 daripada 1,694.15 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks itu dibuka 12.87 mata lebih tinggi kepada 1,707.02 pada pukul 9 pagi.
Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 158 berbanding 83, manakala 170 kaunter tidak berubah, 1,515 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 122.16 juta unit bernilai RM68.0 juta.
Public Investment Bank Bhd dalam nota hari ini menyambut baik pelantikan Nor Shamsiah memandangkan beliau telah berkhidmat lama dengan bank pusat, selain menjadi antara timbalan gabenor semasa BNM diterajui Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Zeti merupakan Gabenor BNM ketujuh.
Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor BNM baharu bagi tempoh lima tahun sehingga 30 Jun, 2023.
Public Investment Bank turut menjangkakan bursa tempatan memulakan minggu ini dengan kukuh.
Jangkaan itu adalah selepas peningkatan ketara dalam saham tenaga yang memberi sokongan kepada pasaran ekuiti Amerika Syarikat dan Eropah pada akhir minggu lepas, memandangkan harga minyak mentah pulih susulan laporan berita bahawa Arab Saudi telah membuat satu perjanjian yang akan menyaksikan Pertubuhan Negara- negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya menambah pengeluaran minyak mentah.
Wall Street ditutup bercampur-campur pada Jumaat minggu lepas susulan perang perdagangan berterusan antara Amerika Syarikat dan China yang masih mewujudkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur.
Bagi saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, saham perbankan meningkat dengan Maybank naik tiga sen kepada RM9.22, Public Bank menokok lapan sen kepada RM23.00 dan CIMB bertambah empat sen kepada RM5.85.
Tenaga naik enam sen kepada RM13.86 dan Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM8.44.
Antara saham aktif, Sapura Energy naik dua sen kepada 66.5 sen, Nova MSC tidak berubah pada 13.5 sen dan T7 Global meningkat 11.5 kepada 53.5 sen.
Saham untung, KLK bertambah 46 sen kepada RM24.10, Petronas Dagangan naik 28 sen kepada RM24.56 dan PPB menokok 20 sen kepada RM19.56.
Indeks FBM Emas bertambah 49.39 mata kepada 12,022.85, Indeks FBMT100 naik 52.15 mata kepada 11,810.79, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 48.53 mata kepada 12,090.42 dan FBM70 menokok 48.23 mata kepada 14,610.03.
Bagaimanapun, Indeks FBM Ace turun 2.48 mata kepada 5,264.98.
Mengikut sektor, Indeks Perusahaan naik 16.51 mata kepada 3,135.48, Indeks Perladangan meningkat 20.43 mata kepada 7,530.19 dan Indeks Kewangan bertambah 64.18 mata kepada 16,919.-BERNAMA










