Bunuh: Tiga ahli perniagaan terlepas tali gantung - Utusan Malaysia

Bunuh: Tiga ahli perniagaan terlepas tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 29 Jun – Tiga ahli perniagaan terselamat daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh seorang penghantar barang, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian tanpa memanggil M. Paramaguru, 41, K. Alagasuveeran, 42, dan R. Sathies, 33, membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes tersebut.

Malah, pihak pendakwaan menurut Hakim Ghazali sebaliknya hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan untuk membuktikan niat bersama ketiga-tiga tertuduh yang didakwa membunuh R.K. Manogaran, 37.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Mahadthir Mohd. Khairudin dan T. Deepa Nair manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Datuk Hariharan Tara Singh.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Manogaran di dalam belukar di Lot 13794, Jalan Batu 34, Jalan Dengkil/Banting Mukim Dengkil, Kuala Langat antara pukul 12.44 tengah hari dan 8 malam, 22 Ogos 2015.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 24 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN