Bukan majlis 'membawang' - Utusan Malaysia

Bukan majlis ‘membawang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN sudah berlalu dan kini Syawal pula tiba menceriakan semua.

Bagi umat Islam, suasana sam­butan Aidilftri masih segar, malah tetap kedengaran hingga kini lagu-lagu raya dimainkan menerusi corong radio dan televisyen.

Nyata bagi Teropong Kawan, kehadiran Ramadan dan Syawal membawa rahmat besar kerana masih terus dikurniakan nafas untuk meraikannya.

Selain itu, kehadiran dua bulan yang amat dinantikan oleh seluruh umat Nabi Muhammad SAW ini boleh dianggap sebagai check point untuk menginsafi serta bermuhasabah diri.

Inilah masa untuk merenung ke dalam diri dan peluang untuk memohon ampun dan maaf kepada insan-insan yang berada di sekeliling, ibu bapa, keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan.

Apatah lagi, sebelum ini negara melalui proses demokrasi yang tetap subur, iaitu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta terca­tat sejarah baharu apabila berlaku peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) tanpa pertumpahan darah.

Semua harus menghormati suara rakyat tersebut dan pada masa yang sama terus meraikan perbezaan pendapat dan fahaman politik, tetapi dengan penuh rasa tanggungjawab.

Teropong Kawan bersetuju de­ngan pandangan bahawa yang menang tidak miliki semuanya dan yang kalah tidak hilang segalanya. Jadi, semua pihak ada kelebihan dan kelemahan.

Apa yang penting, semua pihak harus saling menghormati satu sama lain dan tidak memperlekehkan yang lain supaya semua orang yang bergelar rakyat Malaysia tetap hidup aman damai serta saling berusaha mengangkat bangsa dan negara tercinta ini.

Sebagai umat Islam, andai ada bajet lebih, apa salahnya anjurkan rumah terbuka dan jemput ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan berkunjung.

Ini juga peluang untuk bertanya khabar serta berkongsi idea serta aspirasi yang dapat mengukuhkan hubungan serta ikatan silaturahim.

Namun, Teropong Kawan berharap janganlah jadikan majlis Aidilfitri tersebut sebagai ‘acara membawang’ sehingga matlamat penganjurannya terpesong.

Mungkin lebih molek hindari perjumpaan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan itu dipenuhi de­ngan topik-topik politik kerana bukan semua sealiran fahaman.

Lupakanlah seketika berpolitik! Ini masa untuk bergembira, bukan acara untuk mempertahankan pegangan dan fahaman politik ma­sing-masing yang boleh mencetuskan rasa kurang senang dalam kala­ngan ahli keluarga dan rakan-rakan lain.

Bagi memeriahkan suasana, jangan lupakan anak-anak kecil dengan sumbangan duit raya untuk mereka andai ada bajet lebih.

Keriangan dan keseronokan mereka pasti menyerikan lagi maj­lis tersebut.

Akhirnya, jadikan majlis itu le­bih bermakna untuk mengukuhkan ikatan silaturahim sesama kita.

Teropong Kawan: Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN