KUALA LUMPUR 8 Jun – Kedutaan Indonesia berharap kerajaan Malaysia dapat membuka lebih banyak pusat pendidikan komuniti untuk anak warga Indonesia di Malaysia yang ketinggalan dalam pendidikan.
![]() |
|
RUSDI KIRANA
|
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana berkata, inisiatif yang telah dijalankan di Sabah dan Sarawak itu diharapkan dapat diperluas ke Semenanjung Malaysia.
“Masih ramai anak-anak warga Indonesia yang kurang bernasib baik di negara ini yang ketinggalan dari segi pelajaran sedangkan mereka mempunyai hak untuk akses pendidikan.
“Sebahagiannya dalam usia 6 hingga 11 tahun tetapi masih belum dapat membaca dengan baik, jadi saya harap kerajaan Malaysia yang baharu boleh memperluas inisiatif ini ke Semenanjung Malaysia juga,” katanya ketika ditemui pemberita ketika hadir Majlis Berbuka Puasa Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) di Hotel De Palma di sini hari ini.
Majlis ini dianjurkan untuk meraikan ikatan persahabatan antara wartawan dari Indonesia dan Malaysia.
Selain daripada barisan pengurusan tertinggi media-media utama Malaysia, majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden Iswami, Datuk Zulkefli Salleh dan tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaafar dan Tan Sri Zainuddin Maidin. – UTUSAN ONLINE












