JOHOR BAHRU 6 Jun – Jenazah bonda Sultan Johor, Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah selamat disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini kira-kira pada pukul 11.30 pagi hari ini.
![]() |
|
HAJAH KHALSOM
|
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengetuai perarakan sejauh 2.8 kilometer bermula dari Istana Besar sehingga ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.
Turut berangkat menyertai perarakan berkenaan, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan putera baginda, Pengiran Muda Abdul Mateen Sultan Hassanal Bolkiah.
Jenazah Almarhumah Hajah Khalsom yang diusung menggunakan pedati khas yang direka oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1886 tiba di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada pukul 10.50 pagi.
Pedati tersebut ditarik oleh seramai 40 askar Timbalan Setia Negeri (JMF).
Setibanya di Bukit Mahmoodiah, keranda Almarhumah turut diangkat cucunda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Shah dan adindanya, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.
Bacaan talkin disempurnakan Timbalan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Majlis tahlil akan diadakan di Masjid Jamek Pasir Pelangi, di sini selama tiga malam berturut-turut bermula malam ini, diikuti malam ketujuh, ke-21, ke-40 dan ke-100.
Almarhumah Hajah Khalsom, 84, mangkat pada pukul 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London pada 1 Jun lalu.
Almarhumah Hajah Khalsom atau nama sebenarnya Josephine Ruby Trevorrow dilahirkan pada 2 Disember 1935 di Cornwall, England dan dikurniakan tiga puteri dan seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim serta Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.












