Bomba keluarkan 12 notis - Utusan Malaysia

Bomba keluarkan 12 notis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 7 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengeluarkan 12 notis kesalahan ke atas pusat beli-belah di seluruh negeri ini dalam pemeriksaan sempena musim perayaan Aidilfitri.

YAHAYA MADIS

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, notis itu dikeluarkan ekoran kegagalan premis berkenaan dalam aspek keselamatan terutama kepada pengunjung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sebanyak 105 premis diperiksa dan menyasarkan sekurang-kurangnya 200 pusat beli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

“Pusat beli-belah menjadi tum­puan pengunjung untuk menyediakan persiapan perayaan selain mempunyai ruang niaga yang banyak. 

“Bagaimanapun, didapati ada antara pusat beli-belah itu mengabaikan aspek keselamatan iaitu meletakkan halangan di laluan kecemasan atau di tangga seperti barangan niaga sehingga menutup gegelung hos bomba,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat JBPM negeri di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Menurutnya, setiap pusat beli-belah perlu memastikan tahap sistem pepasangan keselamatan kebakaran berfungsi dengan baik bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, keselamatan pengunjung adalah faktor yang perlu diberikan keutamaan oleh pihak pengurusan setiap premis.

“Orang ramai boleh menjadi mata dan telinga dengan melaporkan sebarang halangan dan kecuaian di pusat beli-belah dengan menghubungi bilik gerakan di talian 05-5297444,” katanya. 

Sementara itu, Yahaya berkata, Pasukan Tindakbalas Kecemasan (ERT) akan ditempatkan di Pusat Kawalan Bomba bersama agensi lain di sepanjang laluan di lebuh raya.

Katanya, seramai 960 anggota bomba akan bertugas sepanjang musim perayaan ini.

“Anggota akan ditempatkan di beberapa lokasi di Plaza Tol Kamunting, Kuala Kangsar, Tapah dan Slim River. Pasukan ini terdiri daripada unit motosikal Rapid Intervention Motorcycle (RIM), Rapid Rescue Vehicle (RRV) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT).

“Balai bomba dan penyelamat pula akan melakukan rondaan mengikut ketetapan jadual menerusi Op Selamat yang bermula esok (hari ini) sehingga 22 Jun ini supaya tindakan kecemasan dapat dilakukan dengan cepat, pantas dan berkesan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini