AWANG amat bersyukur apabila bayi berusia 17 bulan, yang dipercayai diculik oleh seorang lelaki warga asing di Muar, Johor, kelmarin akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya. Nur Aisyah Hasmizan kini sudah pulang ke rumahnya selepas hilang selama 12 jam.
Jenayah culik ini sudah tentu membimbangkan kita semua kerana ia mengingatkan kembali kepada beberapa kes culik kanak-kanak yang pernah menggemparkan negara ini suatu ketika dulu. Ada yang belum ditemui dan ada yang berakhir dengan kematian tragis. Penemuan semula Nur Aisyah dalam keadaan selamat benar-benar melegakan hati kita semua.
Dengan kes terbaharu ini, tentunya kita tidak dapat lari daripada mengungkit semula isu kebanjiran pekerja asing yang memang telah lama menjadi kebimbangan semua pihak sebelum ini.
Bukan semua warga asing melakukan jenayah, tetapi kemasukan yang terlalu ramai dan saringan yang tidak berhati-hati menyebabkan ada penjenayah terlepas masuk ke negara ini. Kita perlu akui, statistik jenayah melibatkan warga asing juga tinggi, ini termasuklah kes rogol, pembuangan bayi dan lain-lain.
Awang berharap kerajaan melihat semula sektor-sektor yang menggaji warga asing. Benarkah rakyat tempatan tidak suka bekerja dalam sektor itu atau itu hanya alasan untuk mengambil pekerja asing dengan gaji yang murah?
AWANG – Syukur.










