AWANG lega dengan pengumuman bahawa Raja-Raja Melayu akan mengadakan perbincangan khas berkenaan kedudukan jawatan Peguam Negara esok. Sekurang-kurangnya kenyataan itu dapat meredakan keresahan akibat pelbagai spekulasi yang timbul berhubung isu berkenaan sejak kebelakangan ini.
Secara tidak langsung juga, Raja-Raja Melayu hakikatnya mengikuti perkembangan semasa dan mengambil berat isu berkaitan. Diharapkan pihak istana dan kerajaan pusat dapat menyelesaikan pelantikan ini dengan baik. Selesaikan segera.
Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu bertenang dan tidak menimbulkan pelbagai spekulasi terutama melalui media sosial. Biarkan perlembagaan menentukannya kerana banyak pertimbangan lain juga perlu diberi perhatian.
Sebarang pelantikan juga tidak seharusnya menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat pada masa hadapan. Apa yang jelas, Istana Negara belum memutuskan pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada serta calon pengganti.
Awang juga mengalu-ngalukan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sedang berusaha menyelesaikan isu lantikan Peguam Negara menurut Perlembagaan Persekutuan dan lunas undang-undang. Begitulah tindakan yang sebaik-baiknya, walaupun manifesto Pakatan Harapan (PH) menyatakan pendiriannya yang berbeza mengenai pelantikan itu.
AWANG – Teliti Buku Harapan.










