MUNICH – Pemain pertahanan Jerman, Niklas Sule mengakui sangat gembira selepas menyaksikan rakan sepasukannya yang juga merupakan penjaga gol utama pasukan itu, Manuel Neuer kembali menjalani latihan bersama skuad Die Mannschaft sebagai persiapan ke saingan Piala Dunia 2018 di Rusia.
Penjaga gol terbaik dunia tersebut terlepas aksi di Bundesliga hampir semusim selepas mengalami patah kaki semasa menjalani latihan bersama Bayern Munich tahun lalu.
Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu sudah bersedia untuk mengawal gawang Jerman selepas dia turut berada dalam senarai awal pemain yang akan menyertai saingan nanti.
Sebelum itu, Jerman bakal berdepan Austria pada aksi persahabatan Sabtu ini (esok) dan Neuer dijangka akan disenaraikan sebagai penjaga gol utama bagi memastikan kecergasannya berada pada tahap yang sesuai.
“Ia memang sukar untuk dipercayai selepas Neuer berehat daripada latihan selama empat bulan.
“Dia tidak menunjukkan sebarang kekurangan jika ingin dibandingkan dengan aksinya sebelum ini serta pergerakan tubuhnya ketika mengawal gawang sangat baik.
“Neuer sememangnya penjaga gol terbaik dunia dan saya beruntung dapat bermain bersamanya di Bayern,” kata Sule.
Ketangkasan Neuer tidak dapat dipertikaikan dan keadaan tersebut membuatkan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen mungkin hanya mampu memanaskan bangku simpanan biarpun beraksi cemerlang membantu kelabnya meraih kejuaraan La Liga.
Bagaimanapun, penolong jurulatih Jerman, Thomas Schneider berkata, Neuer belum dijamin mendapat tempat bersama skuad utama dan ia bergantung kepada keadaan semasanya. – Agensi









