Bertanding untuk tidak lepas tangan - Ahmad Razif - Utusan Malaysia

Bertanding untuk tidak lepas tangan – Ahmad Razif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 23 Jun – Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengesahkan pendiriannya untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus buat penggal kedua dalam pemilihan parti kali ini.

AHMAD RAZIF
AHMAD RAZIF

Bekas Menteri Besar itu berkata, keputusannya didorong oleh rasa tanggungjawab untuk memulih sekali gus mengembalikan kekuatan UMNO di negeri ini, dan tidak dianggap ‘lepas tangan’ dengan membiarkan UMNO dalam keadaan lemah.

Beliau membayangkan jika diberi peluang, ini penggal terakhir untuknya menerajui parti dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Beliau yang akan dicabar Naib Ketua UMNO bahagian, Apli Yusoff memberitahu, tindakan yang diambil itu juga sebagai mengikut jejak langkah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Datuk Abdul Rashid Ngah pada tahun 1999 ketika Terengganu di bawah pemerintahan kerajaan Pas.

“Jika kekalahan (dalam PRU-14) ini tanggungjawab saya, maka menjadi tanggungjawab saya juga untuk mengembalikan kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kalau saya tidak pertahankan jawatan ini, akan ada suara-suara yang mengata Cikgu Razif boleh bersenang-lenang dengan gaji dan pencen yang dimiliki.

“Oleh itu saya mesti melunaskan tanggungjawab saya dan seterusnya memastikan generasi baharu yang akan mengambil alih tugas parti dalam keadaan yang sama seperti kali pertama saya memegang amanah tersebut,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Hotel TH, di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu pada awalnya menyatakan kesediaan untuk memberi laluan jika dicabar oleh kalangan yang mampu memberi nafas baharu sebelum kembali memutuskan untuk bertanding.

Ahmad Razif merupakan calon tunggal BN yang menang dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus dalam PRU-14, mengulangi pencapaian buruk BN dalam PRU-13.

Beliau merupakan antara tujuh daripada lapan Ketua UMNO bahagian yang akan dicabar manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat merupakan calon tunggal yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 bulan lalu, Barisan Nasional tumbang apabila hanya memperoleh 10 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahmad Razif menegaskan beliau akan dengan apa jua keputusan dalam pemilihan kelak, dan akan terus fokus ke arah mengkukuhkan kembali UMNO dalam sinario politik berbeza kini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN