Berbelanja berhemah & berpada musim perayaan - Utusan Malaysia

Berbelanja berhemah & berpada musim perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBELANJA lebih menjelang musim perayaan, sudah menjadi kebiasaan bagi orang ramai.

Apatah lagi dengan penetapan baharu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar mulai 1 Jun lalu dikatakan dapat meningkatkan kuasa beli, pasti sedikit sebanyak mempengaruhi keinginan para pengguna untuk beraya sakan.

Keterujaan untuk membeli-belah, bagaimanapun perlu dikawal bagi mengelakkan pengguna berhadapan masalah kewangan kelak, lebih buruk lagi jika terpaksa menanggung hutang.

Oleh itu, para pengguna sewajarnya tahu meletakkan keutamaan dan membezakan antara keperluan dan kehendak, sebelum membeli-belah.

Perlu diingat bahawa keperluan adalah sesuatu yang mesti dipenuhi untuk meneruskan kehidupan dan keperluan bagi setiap manusia adalah sama, manakala kehendak pula adalah sesuatu yang ingin dimiliki sebagai pelengkap kepada keperluan dan ia berbeza antara individu.


Pengurus Cawangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kuala Terengganu, Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata, konsep perbelanjaan berhemah perlu sentiasa menjadi kayu ukur utama bagi setiap individu.

“Orang ramai mungkin berbelanja lebih kerana terpengaruh dengan promosi dan tawaran harga musim perayaan, menggunakan kad kredit, membuat pinjaman peribadi yang sebenarnya bersifat tidak produktif serta mengambil pendahuluan tunai daripada gaji.

“Dalam isu pendahuluan tunai ini, walaupun lega dapat membuat persiapan awal raya, namun perlu diingatkan jumlah pendapatan bulanan anda bakal ditolak dalam tempoh tertentu. Ini akan memberi kesan kepada bajet yang akan datang,” katanya.

Oleh itu, tambah beliau, adalah penting untuk menyediakan bajet realistik yang dimulakan dengan memeriksa semua perbelanjaan dan memastikan belanja untuk musim perayaan dimasukkan ke dalam bajet bulanan.

Jumlah yang diperlukan untuk menyambut hari raya hendaklah ditetapkan terlebih dahulu agar tidak mengganggu keseluruhan bajet.

“Sekiranya mempunyai bajet yang kecil, utamakan perbelanjaan untuk membeli barangan keperluan bukan mengikut kehendak semata-mata. Perbelanjaan tambahan sememangnya diperlukan ketika musim perayaan, tetapi jangan pula abaikan wang untuk simpanan atau tabungan.

“Sebanyak 10 peratus daripada pendapatan bulanan wajar disimpan untuk kegunaan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Junainah menjelaskan bahawa menyediakan senarai semak dan mematuhinya dapat membantu seseorang untuk fokus kepada barangan keperluan sekali gus mengawal diri daripada terjerat dengan promosi tertentu dan akhirnya membeli barangan yang tidak penting.

Pertanyaan seperti adakah saya memerlukannya, mampukah saya, adakah alternatif lain yang lebih murah serta beberapa soalan lain boleh membantu menyekat ‘selera’ untuk membeli dan menjadi lebih rasional dalam berbelanja.

Keperluan

“Jadilah pengguna bijak dengan mendapatkan maklumat terkini mengenai diskaun dan promosi barang, buat perbandingan antara pusat beli-belah atau kedai barangan harga patut, tidak membeli sesuatu barang hanya kerana harganya murah sedangkan ia tidak diperlukan.

“Mereka juga boleh membuat pembelian secara online untuk barang yang sama tetapi pada harga lebih murah,” ujarnya.

Berkongsi pandangan, seorang suri rumah Nur Hasmila Hassan, 48, berkata, dia sentiasa mengutamakan keperluan meskipun ketika musim perayaan kerana keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja di sektor swasta.

Selain menjadikan keperluan keempat-empat anaknya sebagai keutamaan, dia terlebih dahulu akan menjelaskan bayaran bil-bil berkaitan termasuk cukai jalan kenderaan bagi mengelak berlakunya situasi tidak cukup wang atau terlebih belanja semasa raya.

“Dua anak saya menuntut di institusi pengajian tinggi manakala dua lagi masih bersekolah, jadi saya memang utamakan keperluan mereka. Saya tak terfikir pun soal berbelanja lebih apabila GST sifar, sebaliknya akan cuba berjimat mana-mana yang boleh.

“Anak tengah belajar, jadi sebagai ibu bapa kita perlu bijak menguruskan kewangan keluarga. Alasan untuk memastikan serba-serbi baharu pada hari raya tidak bermakna seseorang itu perlu berbelanja besar sehingga melangkaui kemampuan diri sebab sesuatu yang baharu tak semestinya mahal, pokok pangkalnya kita hendaklah bijak berbelanja,” katanya.- Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN