KOTA KINABALU 28 Jun – Calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Annuar Musa bukan sahaja mahu membawa pembaharuan yang besar dalam pengurusan UMNO, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pembentuan saf ahli Parlimen yang berprestasi tinggi.
Katanya, perkara itu antara aspek yang menjadi keutamaan dan perlu diketengahkan untuk menguatkan semula perjuangan parti demi kepentingan semua pihak khususnya rakyat diperingkat akar umbi.
“Pemilihan parti ini adalah untuk menampilkan semua kekuatan parti yang lebih hebat sekali gus dapat membawa kepada kelebihan dan bukan kelemahan.
“Oleh itu, saya berharap dapat membantu Presiden untuk membentuk barisan Ahli Parlimen yang terbaik dan ini merupakan cabaran yang sangat besar. Tetapi ia hanya boleh dilaksanakan jika kepercayaan perwakilan cawangan dan bahagian diberikan kepada saya sebagai Timbalan Presiden parti pada pemilihan, Sabtu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perjumpaan bersama Ketua Penerangan UMNO di sini, semalam.
Dalam pada itu, Annuar berkata, usaha untuk memperjuangkan isu rakyat perlu diperhebat bagi mengembalikan sokongan dan kepercayaan terhadap parti.
“Pada saya, UMNO masih kuat dan relevan untuk rakyat, namun sudah pasti ia memerlukan perubahan yang besar yang menjurus kepada kepentingan rakyak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











