ALOR SETAR – Kerajaan negeri mendakwa masih belum menerima cadangan daripada pemaju hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing untuk melaksanakan pembangunan Projek Bandar Raya Baharu Langkawi yang bernilai kira-kira RM30 bilion di pulau peranginan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya hairan dengan pengumuman pemaju hartanah itu kerana projek itu tidak pernah dicadang, dibincang, dipertimbang dan diluluskan kerajaan negeri pimpinannya sekarang.
“Projek tersebut pernah dicadangkan sewaktu saya memegang jawatan Menteri Besar Kedah kali pertama, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.
“Pek Khiing telah mengemukakan cadangan pembangunan tanah tambak laut bagi membina hartanah yang akan dijual kepada pembeli tempatan dan asing.
“Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak disusuli dengan bayaran deposit yang menepati syarat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.










