KUALA LUMPUR 27 Jun – Di sebalik barangan kemas dan beg tangan mewah yang dirampas dalam siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa beg tangan tiruan berkualiti tinggi turut disahkan antara yang dirampas dalam pemeriksaan yang dijalankan bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, walaupun disahkan tiruan, beg tangan tersebut tetap mahal dan tinggi harganya.
“Saya tidak panggil tiruan kerana kualitinya masih baik dan harganya juga sangat mahal. Tapi kuantitinya sangat sedikit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Amar Singh, sejumlah 567 beg tangan dirampas dari kediaman berkaitan Najib termasuk di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta dan unit kondominium mewah tempat tinggal anak lelaki dan perempuan mereka di Pavilion Residences serta sebuah lagi unit tidak berpenghuni di bangunan sama.
Beg tangan itu terdiri daripada 37 jenama mewah antaranya Hermes, Prada, Versace, Chanel termasuk daripada jenama Bijan, jenama eksklusif yang ditempah khas dan tidak dijual secara terbuka.
Bagaimanapun, hanya beg jenama Hermes setakat ini yang dinilai mencecah RM51.3 juta untuk 272 buah beg. -UTUSAN ONLINE











