Bebas tuduhan pecah amanah - Utusan Malaysia

Bebas tuduhan pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Jun – “Kebenaran menjadi kenyataan. Ini soal integriti dan maruah. Kebenaran telah terbukti, kita dapat tebus maruah kita.”

Itu reaksi pertama bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskannya serta Pengarah Urusan bank tersebut, Datuk Mustafha Abd. Razak daripada pertuduhan bersubahat dan melakukan pecah amanah melibatkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran bank itu hampir RM15 juta, dua tahun lalu.

Bagi Abdul Aziz, bukan sahaja maruah diri sendiri berjaya ditebus malah maruah isteri, anak dan keluarga yang sentiasa bersama mereka.

“Mereka menanggung selama dua tahun sejak kes ini berlarutan. Syukur alhamdulillah, Allah yang menentukan dan akhirnya kami tidak bersalah itu yang penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai prosi­ding di hadapan Hakim Madihah Hairullah.

Terdahulu, Madihah memutuskan demikian terhadap ke­dua-dua tertuduh yang diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah selepas pihak pendakwaan memberitahu representasi yang dihantar pasukan pembelaan ke Jabatan Peguam Negara pada 1 Jun lalu telah di­terima.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama bagi kes tersebut.

Pada 7 September 2016, Mustafha, 50, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap Peruntukan Kumpulan Per­belanjaan Pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 pada 11 Mac 2016 di Menara Kembar Bank Rakyat, Jalan Travers di sini.

Abdul Aziz, 67, yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera ke-16 pula mengaku tidak bersalah ter­hadap pertuduhan bersubahat dengan Mustafha untuk me­lakukan perbuatan tersebut pada tarikh dan tempat sama.

Mustafha didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh didenda sementara Abdul Aziz menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 109 kanun sama dibaca dengan Seksyen 409 kanun itu yang membawa hukuman serupa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN