Bantuan kemanusiaan Ramadan Gaza - Utusan Malaysia

Bantuan kemanusiaan Ramadan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini genap 18 hari umat Islam di negara ini menunaikan rukun Islam ketiga.

Ketika umat Islam di negara ini berpeluang berbuka puasa dengan aman dan dilimpahi makanan dan minuman, kira-kira dua juta penduduk di Gaza, Palestin pula mengharungi Ramadan dalam keadaan getir berikutan ramai yang kekurangan atau langsung tidak mempunyai bekalan makanan.

Keadaan itu berpunca daripada kega­nasan Israel terhadap penduduk di wila­yah itu dan kesan daripada kepungan rejim Zionis yang masuk tahun ke-12.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Abdul Aziz Abu Bakar berkata, penduduk wilayah berkenaan juga menyambut kedatangan Ramadan kali ini dengan paras pengangguran dan kemiskinan paling tinggi pernah dicatatkan.

Kadar pengangguran kini ialah 43.9 peratus, bermakna hampir 900,000 individu di Gaza tidak ­mempunyai pekerjaan untuk menyara keluarga mereka.

Kadar pengangguran semakin me­ningkat akibat kurangnya pembangunan dan bahan mentah ekoran penutupan sempadan oleh Mesir dan Israel.

“Sejumlah 65 peratus penduduk Gaza hidup di bawah paras kemiskinan dan tidak berupaya untuk membeli makanan serta barangan keperluan lain.

“Ekoran itu, kira-kira 80 peratus penduduk Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan daripada pihak luar untuk terus hidup,” katanya ketika ditemui kru Panorama di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Tanpa bantuan makanan, penduduk di Gaza akan kebuluran dan mungkin terpaksa berbuka puasa dengan sedikit biskut kering serta air kosong sahaja.

Tambahnya, air kosong di Gaza juga tidak sebersih di negara ini ekoran ia diperoleh melalui sulingan air laut atau sumber air bawah tanah.

“Keadaan mereka menjadi semakin teruk apabila lebih 5,000 keluarga di Gaza kehilangan rumah akibat dibedil tentera Zionis sehingga terpaksa me­netap dan berbuka puasa di dalam khemah.

“Kira-kira 11,000 buah rumah musnah akibat kekejaman Israel, namun ha­nya kira-kira 15 peratus sahaja berjaya dibaik pulih,” katanya.

Cerita Abdul Aziz, keadaan ekonomi dan keupayaan penduduk Gaza menghasilkan atau memperoleh makanan bertambah buruk selepas terowong rentas sempadan Mesir dan Gaza dimusnahkan oleh kerajaan Mesir pada tahun 2014 sehingga menyukarkan komoditi asas termasuk makanan dan bahan api diseludup masuk.

Ringankan beban

Abdul Aziz yang telah sembilan kali menyertai misi kemanusiaan ke Gaza berkata, untuk meringankan beban penduduk Gaza sepanjang Ramadan, Mapim telah memberi sumbangan berupa 3,000 kotak mengandungi pelbagai bentuk makanan bernilai kira-kira RM200 setiap kotak.

“Antara makanan yang terdapat di dalam kotak ini ialah gandum, makaroni, gula, keju, mentega dan minyak zaitun.

“Kami menyumbang satu kotak makanan ini untuk setiap keluarga. Ke­semua bantuan ini telah diberi kira-kira seminggu sebelum Ramadan untuk ke­gunaan selama sebulan,” katanya.

Menurutnya, pihak Mapim turut menyumbang sebanyak 1,500 bungkusan berisi makanan panas untuk dimakan penduduk Gaza ketika berbuka puasa.

Melalui bantuan makanan itu, ia diharap dapat meringankan sedikit kesukaran yang dialami penduduk Gaza selain membolehkan mereka menyambut Ramadan dalam keadaan yang lebih baik.

“Kami bagaimanapun tidak dapat menyampaikan bantuan makanan ini sendiri ekoran pihak luar tidak dibenarkan memasuki Gaza sejak tahun 2014.

“Sehubungan itu, kami tiada jalan lain selain memindahkan wang kepada rakan kerjasama Mapim di Gaza dan mereka akan menguruskan pembelian makanan serta penyerahan sumbangan kepada penduduk di sana,” katanya.

Jelas Abdul Aziz lagi, walaupun penduduk Gaza menyambut Ramadan dalam keadaan serba keku­rangan, mereka tetap bersemangat untuk mengimarahkan masjid-masjid pada waktu malam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Mapim, Zulhanis Zainol berkata, selain pemberian bantuan makanan sepanjang bulan puasa, Mapim juga telah menghulurkan pelbagai jenis bantuan menerusi sumbangan orang ramai.

Tambahnya, antara bantuan itu ialah pembinaan baharu dan membaik pulih sebanyak sembilan buah masjid di Gaza yang dilakukan de­ngan kerjasama beberapa masjid di negara ini.

“Salah sebuah daripadanya ialah Masjid Umar Abdul Aziz yang menelan belanja hampir RM2 juta. Masjid itu bagaimanapun musnah dibedil oleh tentera Israel kira-kira 17 bulan selepas ia siap dibina dan beroperasi,” katanya.

Pinjaman mikro

Jelasnya lagi, bagi membolehkan penduduk Gaza mempunyai hasil pendapatan sendiri, pihaknya juga memberi pinjaman makro berjumlah RM8,000 hingga RM12,000 untuk mengembangkan perniagaan, penternakan atau perladangan.

“Antara mereka yang telah diberi pinjaman ini ialah pengusaha kedai runcit, kedai jahit, penternak lembu, pengusaha ladang lada banggala, tomato serta limau.

“Pinjaman ini tidak mengenakan sebarang faedah di mana mereka hanya perlu bayar semula sekiranya berkemampuan agar wang itu dapat disalurkan kepada peniaga lain pula.

“Bagaimanapun, jika perniagaan dan ladang mereka musnah akibat perbuatan tentera Israel, mereka tidak perlu membayar pinjaman ini,” katanya,

Bagi meningkatkan taraf pendi­dikan penduduk di Gaza, jelas Zulhanis, Mapim turut memberi sumbangan berupa pembiayaan pelajaran seperti menaja gaji guru serta membayar yuran pengajian melanjutkan pelajaran di universiti.

“Sejumlah 70 peratus penduduk Gaza yang layak melanjutkan pengajian di universiti didapati tidak mampu membayar yuran pengajian. Dengan sumbangan ini, lebih ramai penduduk Gaza berpeluang melanjutkan pengajian di universiti,” katanya.

Menurutnya, Mapim dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini seperti Persatuan Persaudaraan Muslimah (Salimah) juga menaja anak-anak yatim di Gaza.

“Kami juga memberi bantuan membaik pulih rumah yang musnah dibedil Israel serta menaik taraf rumah yang terlalu daif selain sum­bangan ambulans,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN