KUALA LUMPUR 18 Jun – Moody’s Investors Service (Moody’s) menjangkakan prospek bagi sistem perbankan di Malaysia kekal stabil dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang disokong oleh persekitaran makroekonomi yang kukuh sama di dalam mahupun di luar Malaysia.
Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Simon Chen berkata, walaupun keadaan makroekonomi negara adalah terbukti kukuh tetapi ketidaktentuan perubahan dasar oleh kerajaan baharu akan menimbulkan sentimen kepada pelabur dan perniagaan sepanjang tahun ini.
Moody’s juga mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang pada 5.4 peratus tahun ini manakala pembiayaan pula tumbuh sekitar enam hingga tujuh peratus dalam tempoh berkenaan.
“Pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam masa sama akan meningkatkan penggunaan swasta dan memberi kelebihan kepada perniagaan domestik dalam tempoh terdekat.
“Faktor ini secara tidak langsung menjadikan persekitaran operasi yang menggalakkan bagi bank-bank di Malaysia dan membantu menstabilkan kualiti aset dan keuntungan mereka.
“Pada masa sama, pertumbuhan pinjaman lebih pantas dijangkakan, kekal pada kadar yang lebih perlahan daripada pengekalan keuntungan bank-bank, yang membawa kepada penampan modal yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laporan sistem perbankan di Malaysia bertajuk ‘Keadaan makro yang mantap dan meningkatkan permodalan bagi menyokong prospek yang stabil’ yang dikeluarkan hari ini.
Moody’s mengekalkan prospek stabil terhadap sistem perbankan di Malaysia sejak 2010.
Dalam laporan itu juga, Moody’s turut memberi penarafan kepada 11 bank di Malaysia iaitu lapan bank komersial konvensional, satu bank pelaburan, bank islam dan institusi pembangunan kewangan milik kerajaan.
Prospek stabil itu adalah berdasarkan penilaian Moody’s terhadap enam pemacu iaitu persekitaran operasi (stabil), kualiti aset (stabil), modal (semakin baik), mudah tunai dan kecairan (stabil), keuntungan dan kecekapan (stabil) dan sokongan kerajaan (stabil).
Berdasarkan laporan itu, agensi penarafan antarabangsa itu mendapati kualiti aset kekal stabil di sebalik keadaan tekanan yang berkurangan dalam kalangan syarikat korporat yang bermasalah dan pertumbuhan perlahan paras hutang isi rumah.
Pembentukan pinjaman tidak berbayar baharu akan kekal perlahan dalam keadaan kenaikan sederhana kadar faedah, apabila keuntungan bertambah baik dan pertumbuhan pinjaman isi rumah berisiko semakin berkurangan.
Dari segi permodalan, paras akan meningkat apabila penjanaan modal mengatasi pertumbuhan aset dan terbukti mencukupi untuk mengimbangi pelarasan sekali berbanding nisbah modal bagi memenuhi standard MFRS 9.
Laporan itu juga menunjukkan dana dan kecairan bank-bank akan kekal stabil manakala nisbah pinjaman kepada deposit akan meningkat apabila pertumbuhan pembiayaan melonjak tetapi nisbah tersebut kekal di bawah 100 peratus.
“Tambahan pula, bank-bank akan mengekalkan kedudukannya bagi memenuhi keperluan minimum yang selesa di bawah pengawalseliaan mudah tunai dan kecairan Basel III,” jelas laporan tersebut.
Mengenai keuntungan pula, perolehan semakin meningkat dipacu oleh pertumbuhan pinjaman yang melonjak akan menyokong keuntungan bank-bank berkenaan.
Menurut laporan berkenaan, sokongan kerajaan terhadap bank-bank dalam tempoh semasa yang sukar dijangka kekal kukuh.
“Pembaharuan perundangan baru-baru ini tidak membayangkan sebarang peralihan dalam dasar kerajaan bagi penyelesaian bank-bank bermasalah melainkan pembubaran dengan kurangnya pengawalseliaan untuk memaksa pemiutang bank menanggung sebarang kos bagi usaha menyelamatkan bank,” katanya.








