SELAIN Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih popular dengan nama Jalan TAR di Kuala Lumpur dan Kompleks PKNS Shah Alam, pusat komersial Bangi Sentral di Bandar Baru Bangi, Selangor semakin menjadi tumpuan khususnya warga kota untuk membeli-belah bagi menyambut kedatangan 1 Syawal. Populariti Bangi Sentral turut mendorong pengusaha pelbagai jenama tempatan untuk menjadikan lokasi komersial itu sebagai ibu pejabat selain membuka kedai masing-masing.
Dianggarkan lebih 100 pengusaha fesyen tempatan menjalankan perniagaan di Bangi Sentral.
Bagi pengguna yang mahukan pengalaman unik membeli-belah untuk mencari keperluan hari raya, pusat komersial itu pasti menjadi destinasi pilihan.
Seorang daripada pengusaha tudung yang paling awal bertapak di Bangi Sentral ialah pengasas jenama tudung MarshmallowScarf, Puteri Maizura Razali.
Menurut Puteri Maizura, faktor persekitaran dan penduduk setempat menjadikan dia yakin dengan potensi perniagaan pakaian Muslimah di lokasi itu.
Tambahnya, sejak memulakan operasi perniagaan di lokasi itu, jumlah pengunjung ke kedainya bertambah saban tahun.
Tudung segera
MarshmallowScarf menghasilkan produk ‘tudung segera’ dengan cetakan pelbagai corak eksklusif kontemporari, sesuai dengan cita rasa khusus eksekutif muda.
“Ketika mula berniaga di sini pada tahun 2015, sasaran pelanggan saya ialah penduduk Bangi yang sebahagian besarnya dipercayai beragama Islam. Bangi juga menjadi tempat pilihan ramai golongan muda dan profesional untuk menetap.
“Selepas beberapa tahun, pelanggan dari luar Bangi turut berkunjung ke sini,” kata Puteri Maizura yang turut menerima kunjungan pelanggan dari Brunei dan Singapura.
Perkara itu disokong pemilik butik Bawal Exclusive, Yusmah Indrawati Yusup yang membuka perniagaan di Bangi Sentral pada November 2017.
Menurutnya, lokasi itu telah diiktiraf sebagai ‘bandar fesyen’ oleh Majlis Perbandaran Kajang, sesuai dengan suburnya industri fesyen di kawasan tersebut.
Bahkan dia sendiri yang pada awalnya hanya menumpang kedai rakan sebagai vendor telah mengambil langkah berani untuk membuka kedai sendiri.
Ia dibuat selepas dia melihat kawasan itu semakin menjadi tumpuan orang ramai yang cintakan fesyen terutamanya fesyen patuh syariah.
Pengasas jenama tudung labuh Uswah, Nur Ilanah Abdullah, 31, memberitahu, demi keselesaan pelanggan, kedai miliknya mengguna pakai polisi tidak berkasut di dalam kedai.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan datang bersama keluarga masing-masing dan amat penting untuk memastikan mereka berasa selesa terutamanya jika ada yang membawa anak kecil.
Atas dasar itulah kedai tersebut tidak melarang sekiranya ada kanak-kanak bermain di dalam kedai.
Dia turut mengambil peluang sempena kehadiran pelanggan yang ramai untuk menganjurkan sesi tazkirah di dalam kedai.
Dalam pada itu, Nur Ilanah menambah, dia menyediakan ruang menunggu bagi para suami selain taman permainan mini untuk kanak-kanak di dalam kedai.
Menyedari lokasi kedai yang berada di tingkat atas bangunan, dia turut menyediakan perkhidmatan pesanan melalui telefon dan penghantaran ke kereta bagi pelanggan yang tidak mahu naik ke kedai.
Sementara itu, pengasas bersama jenama anak tudung dan tudung sarung Innersejuk, Azrul Izzam Kamarul Zaman pula berkata, walaupun syarikat itu tidak memiliki kedai sendiri di Bangi Sentral, sangat penting untuk memastikan produk Innersejuk dapat dijual di lokasi tersebut.
Jenama
Keistimewaan anak tudung ini ialah menggunakan kain jenis drichill yang biasanya digunakan dalam industri sukan, tidak berpeluh dan tidak panas serta boleh digunakan untuk tempoh yang panjang.
Ia dijual pada harga antara RM30 hingga RM35 sehelai.
Atas sebab itulah, Azrul membina kerjasama pintar dengan pemborong yang mempunyai kedai di Bangi Sentral. Konsep kerjasama pintar itu tidak hanya terhad kepada operasi jualan semata-mata tetapi termasuk aktiviti promosi dan ganjaran pelanggan.
“Amat penting untuk kami membina kesedaran jenama. Sebagai pemain baharu dalam industri, kesedaran jenama dalam kalangan pelanggan amat penting.
“Ia bagi membantu kami menghadapi saingan terutamanya daripada jenama yang sudah terkenal,” jelasnya yang mengeluar dan menjual produk tersebut sejak awal tahun ini. – Bernama











