PUTRAJAYA 28 Jun – Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli untuk mencabar kesahan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) yang dipertuduhkan terhadapnya atas kesalahan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim memutuskan demikian selepas Rafizi menarik balik rayuannya.
Pada 16 Mei lalu, rayuan bekas kerani bank, Johari Mohamad yang dituduh bersubahat dengan Rafizi, turut dibatalkan oleh panel yang sama selepas lelaki itu menarik balik rayuannya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar memaklumkan bahawa bekas Ahli Parlimen Pandan itu dan juga peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli tidak hadir pada prosiding hari ini.
Mahkamah turut diberitahu bahawa Rafizi belum memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan (NoD) namun sudah menyatakan hasrat untuk menarik balik rayuan melalui peguamnya yang hadir ketika sesi pengurusan kes pada 6 Jun lalu.
Notis mahkamah kemudian dikeluarkan pada 7 Jun lalu agar beliau hadir hari ini.
Pada 20 April 2015, Rafizi dan Johari memfailkan permohonan untuk mencabar akta tersebut dengan mengemukakan tiga isu antaranya sama ada pertuduhan terhadap mereka boleh diteruskan walaupun BAFIA telah dimansuhkan pada 2013 dan digantikan dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Pada 7 Februari lalu, kedua-duanya didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen dan dikenakan hukuman penjara 30 bulan kerana mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., enam tahun lalu.
Rafizi, 41, didapati bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC itu dan juga akaun bank Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.
Dia disabitkan melakukan kesalahan itu di Ibu pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, Selangor pada 7 Mac 2012.
Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE











