RUSIA – Sepanyol memerlukan bantuan daripada pemain gantian, Iago Aspas yang menjaringkan gol pada lewat permainan untuk menewaskan Tunisia 1-0 dalam aksi terakhir pemanas badan mereka awal pagi semalam sebelum mengharungi Piala Dunia 2018 di Rusia.
Kejayaan itu hadir sebaik Sergio Busquet berjaya memecahkan benteng pertahanan Tunisia menerusi hantaran jarak jauh yang menemui Diego Costa dan penyerang itu mencipta peluang gol kepada Aspas untuk meraih kemenangan di Stadium Krasnador.
Aspas yang menjadi pemain keenam dibawa masuk oleh Sepanyol pada minit ke-76 telah menjaringkan gol kemenangan berbaki enam minit terakhir perlawanan.
Skuad La Roja mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 20 perlawanan di bawah kendalian Julen Lopetegui.
Sepanyol akan memulakan kempen Piala Dunia dengan aksi sukar bertemu, Portugal dalam saingan Kumpulan B Jumaat ini sebelum bertemu Iran dan Maghribi.
Tunisia akan menentang England sebelum bertemu Belgium dan Panama dalam Kumpulan G. – Agensi










