SEREMBAN – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah percaya UMNO mempunyai aset dan harta yang cukup untuk dimanfaatkan bagi menggerakkan pelbagai kegiatan serta aktiviti parti di semua peringkat termasuk akar umbi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, kebanyakan harta UMNO yang kini bernilai berbilion ringgit di seluruh negara itu dimiliki dalam bentuk hartanah, bangunan dan saham yang diperoleh sejak tahun 1960-an.
Menurutnya, sebahagian daripada harta berkenaan dipegang atas nama pemegang amanah dan ada yang tidak ditukar nama selepas individu tersebut tidak lagi memegang jawatan dalam parti.
“Kalau kita dapat kumpulkan dan senaraikan semula sekarang, saya rasa UMNO mempunyai banyak harta. Tinggal lagi bagaimana hendak diuruskan dengan baik dan mana yang perlu dilabur semula dalam pelaburan yang boleh memberi pulangan baik kepada parti.
“Insya-Allah, kita ada peluang untuk mendapat pulangan lebih daripada yang kita jangkakan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama Tengku Razaleigh di sini semalam.











