BAITULMUQADDIS 25 Jun – Seorang perunding kanan Palestin mendakwa Amerika Syarikat (AS) cuba menggulingkan kerajaan Presiden, Mahmoud Abbas selain menegaskan Washington sudah hilang kelayakannya sebagai ‘orang tengah’ dalam proses rundingan damai Palestin-Israel.
Lapor portal al-Jazeera, dakwaan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat selepas penasihat kanan Presiden AS, Donald Trump iaitu Jared Kushner dan wakil White House, Jason Greenblatt mengadakan pertemuan dengan pemimpin Israel, Jordan, Qatar, Mesir serta Arab Saudi baru-baru ini.
Dalam satu wawancara yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Arab, al-Quds semalam, Kushner berkata pentadbiran AS akan segera mengemukakan rancangan rundingan damai Palestin-Israel, dengan atau tanpa input daripada Abbas.
Kushner juga mempersoalkan keupayaan Abbas dalam melakukan rundingan damai dengan Israel.
“Wawancara berkenaan jelas menunjukkan bahawa pentadbiran AS sebenarnya mahu mengeluarkan perintah berbanding mengadakan rundingan. Mereka bertekad mahu menentukan penyelesaian yang sesuai.
“Mereka bekerja keras membuat perubahan rejim kerana kepimpinan Palestin di bawah Abbas mahukan keamanan sejati, berkekalan dan komprehensif berlandaskan undang-undang antarabangsa,” kata Erekat kepada pemberita di Ramallah.
Abbas telah memutuskan hubungan antarabangsanya dengan pentadbiran Trump selepas AS bertindak mengaku Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel pada Disember tahun lalu.
Palestin melihat Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota masa hadapan mereka dan memastikan status bandar berkenaan menjadi antara isu penting dibincangkan bersama Israel.











