SHAH ALAM 28 Jun- Kemelut rumah tangga Ziana Zain terus berpanjangan apabila suami kepada penyanyi itu, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk mendengar sebutan keputusan Jawatankuasa Pendamai.
Bercakap kepada wartawan selepas itu, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, 50, kekal positif dan memberitahu akan terus mengikut prosedur.
“Saya akan mengikut prosedur, jika saya boleh bertahan selama 20 tahun. Kali ini saya hanya perlu bersabar sedikit sahaja lagi,” katanya ketika ditanya mengenai keputusan mahkamah menetapkan tarikh 12 Julai depan untuk melantik wakil untuk Jawatankuasa Hakam.
Berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Kata pelantun lagu Tiada Jodoh Antara Kita ini juga dia turut berharap agar Armin akan memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.
“Kami ada tangunggungjawab terhadap masing-masing dan sepatutnya dia hadirlah,” katanya ringkas.
Sementara itu Ziana yang turut hadir ditemani adiknya penyanyi Anuar Zain kelihatan ceria dan turut memberitahu sambutan Syawal lalu juga disambut meriah bersama anak-anaknya.
“Raya tetap raya, anak-anak juga gembira. Soal kerjaya saya sebenarnya masih diteruskan seperti biasa, cuma kalau ada sebutan di mahkamah saya akan cuti untuk hadir,” katanya.
Pada 3 April lalu, Ziana menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah selepas mendirikan rumah tangga dengan Armin pada 9 Mei 1998.
Melalui perkahwinan berusia 20 tahun ini mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9 difahamkan fail tuntutan penceraian itu berkaitan penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera anak mereka. – UTUSAN ONLINE











