KUALA LUMPUR – “Apa guna menjadi calon Presiden UMNO yang popular jika tidak mendapat sokongan dan tidak mampu membawa perubahan drastik kepada parti?”
“Saya tidak menjual populariti sebagai aset utama kepada perwakilan. Saya banyak tekankan manifesto dalam kempen untuk perubahan dan penstrukturan semula parti. Mungkin antara ketiga-tiga calon, saya ada pengaruh tetapi yang lebih penting adalah apa hala tuju untuk membawa perubahan kepada parti.
Demikian reaksi spontan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditanya mengenai persepsi orang ramai bahawa beliau merupakan calon Presiden versi selebiriti menjelang pemilihan parti pada Sabtu ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, seseorang Presiden seharusnya dapat melaksanakan transformasi secara total kepada parti dan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum boleh menjadi parti yang politik kuat.
“Kerana itu saya bawa manifesto untuk kita semua keluar daripada kelemahan parti. Jadi mereka tidak akan lihat saya sebagai calon ada pengaruh luar tetapi calon yang fikirkan apa yang terbaik untuk mengubah parti,” katanya kepada Bernama hari ini. – Bernama











