Anwar boleh komen apa sahaja – PM - Utusan Malaysia

Anwar boleh komen apa sahaja – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) boleh memberi sebarang komen tetapi pada masa sama meng­ingatkan Ketua Umum Pakatan Harapan itu bukan dalam kerajaan.

 

Perkara itu di­te­gaskan Perdana Menteri dalam wawancara beliau bersama Channel News Asia yang disiarkan semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dr. Mahathir memberitahu, sekiranya sesuatu perkara itu telah mencapai persetujuan Kabinet, kerajaan akan tetap de­ngan keputusan tersebut.

“Orang lain yang tidak berada dalam Kabinet boleh buat komen masing-masing. Mereka boleh kata apa yang mereka suka tetapi kami adalah kerajaan.

“Anwar seperti orang lain, boleh beri komen,” kata beliau.

Dr. Mahathir ber­kata demikian ketika ditanya mengenai komen Anwar ber­kenaan polisi kerajaan termasuklah mencadangkan supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhenti mendedahkan skandal-skandal kerana kenyataan beliau memberi impak kepada pasaran.

Ditanya kebimbangan berlakunya perselisihan antara mereka, Dr. Mahathir menjelaskan, beliau akan melepaskan jawatan sekiranya tidak boleh bekerja dengan pihak yang menentangnya.

Dr. Mahathir percaya per­selisihan boleh timbul antara beliau dengan banyak pihak tetapi mengingatkan bahawa beliau mampu bertahan.

“Saya pernah berada di kedudukan ini selama 22 tahun. Banyak pihak yang menentang saya tetapi saya berjaya uruskan, jadi, sekiranya tidak mampu, saya akan letak jawatan,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau me­negaskan, tidak berlaku seba­rang pertengkaran dalam Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan senarai penuh Kabinet lewat diumumkan.

Katanya, beliau telah menyenaraikan Kabinet baharu dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perke­nan baginda.

Dalam wawancara sama, beliau mengakui memimpin kerajaan PH adalah lebih sukar berbanding menerajui kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kesukaran itu berlaku kerana sebelum ini BN mempunyai parti dominan iaitu UMNO.

“Tetapi di sini (Pakatan Harapan), anda kena mendengar kepada empat suara berbeza dan anda perlu merumuskan dan mengatakan, ini secara amnya apa yang anda percaya dan kemudian dapatkan persetujuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini