Angkara belerang, remaja buta sebelah mata - Utusan Malaysia

Angkara belerang, remaja buta sebelah mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 1 Jun – Niat ingin mencuba bermain belerang daripada sebuah mercun bola hampir mengorbankan sebelah mata seorang remaja, Eiman Najwan Anwar Fuad, 14, dalam kejadian di Taman Nureswaty, Panji di sini, empat hari lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, mangsa sedang bermain mercun bersama tiga rakan dan dikatakan cuba mengeluarkan belerang daripada mercun sebelum meletakkannya di atas helaian tisu di dalam sebuah botol kaca.

Bagaimanapun belerang berkenaan meletup bersama botol kaca lalu terkena mangsa.

Ibu mangsa, Rozita Zakaria, 41, berkata, dia yang berada di dalam rumah ketika itu terkejut apabila mendapat tahu anaknya berlumurun darah akibat kepingan kaca tertusuk di sekeliling mata.

“Masa itu bunyi macam berdentum, kuat sangat. Apabila saya pergi, kawan-kawan dia semua lari berkeliaran. Mujur suami saya ada di rumah dan kami terus meluru untuk melihat dia.

“Selepas banyak lihat darah mencurah-curah, kami bergegas membawa anak ke hospital,” luahnya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini hari ini.

Menurut Rozita, anak kedua daripada tiga beradik itu kini berada dalam keadaan separa sedar dan masih berada di bawah pemantauan doktor.

“Sekarang ini kami sedang menunggu laporan doktor pakar mata sebelum pembedahan dapat dilakukan. Mata sebelah kiri masih berfungsi, cuma mata sebelah kanan kemungkinan sudah tidak dapat berfungsi lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN