KUALA LUMPUR 25 Jun – Seorang anggota polis ditahan kerana melepaskan lima das tembakan ke arah dinding ketika keluar berhibur di sebuah pusat karaoke di Kepong di sini semalam.
Bagaimanapun, kejadian pada kira-kira pukul 8 pagi itu tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Menurut sumber, hasil soal siasat mendapati suspek yang merupakan anggota polis berpangkat Koperal dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu datang untuk berhibur di pusat karaoke berkenaan pada pukul 6 pagi bersama lima lagi rakannya.
Katanya, ketika sedang berhibur, tiba-tiba datang satu kumpulan terdiri daripada empat lelaki masuk ke bilik suspek seterusnya menumbuk rakan suspek.
“Suspek cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun seorang lelaki telah menolak suspek. Suspek kemudian mengeluarkan pistol jenis Smith & Wesson .38 dan melepaskan lima das tembakan ke dinding untuk meleraikan pergaduhan.
“Ekoran daripada tembakan tersebut, kumpulan empat lelaki itu kemudian melarikan diri. Difahamkan, semasa kejadian, suspek dalam keadaan mabuk dan terus pulang ke rumah,” katanya sumber itu di sini hari ini.
Sumber memaklumkan, susulan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah menahan suspek di IPD Gombak pada hari kejadian.
“Pihak polis juga merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson .38, 25 butir peluru dan lima butir kelongsong peluru,” ujarnya.










