KOTA SAMARAHAN 26 Jun – Seorang anggota polis ditahan, manakala tujuh lagi rakannya dicari kerana didakwa terlibat menyerang dan menampar seorang anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di rumahnya di Kampung Sebandi Ulu di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kumpulan lelaki berkenaan bertindak ganas apabila memecah pintu rumah mangsa, menterbalikkan dan menolak kereta milik mangsa ke dalam parit sehingga mengalami kerosakan.
Menurut sumber, mangsa berusia 26 tahun yang tinggal bersama suaminya di rumah berkenaan diserang oleh kumpulan lelaki terbabit kerana tidak berpuas hati berhubung kes kemalangan membabitkan kematian adik kepada suspek utama yang menyerangnya.
“Suspek utama berdendam dan berang terhadap mangsa kerana mendakwa wanita yang tinggal sekampung dengannya itu sengaja melanggar adiknya sehingga mati pada tahun lalu.
“Kemuncak kemarahannya, dia telah membawa tujuh rakan termasuk seorang anggota polis berpangkat koperal datang ke rumah wanita itu untuk menyerang dan memaksanya mengaku bersalah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber memberitahu, dalam kejadian itu, mangsa telah ditampar oleh beberapa lelaki yang menyerangnya dan dipaksa datang ke rumah suspek utama untuk mengaku bersalah dan memohon maaf kepada keluarganya atas kematian adiknya.
Ujarnya, selain bertindak ganas memecah pintu rumah mang- sa, kumpulan lelaki terbabit turut menterbalikkan dan menolak jatuh kereta milik mangsa ke dalam parit.
Tambahnya, mangsa terpaksa pergi ke rumah suspek utama untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku semasa kemalangan dan mujur ahli keluarga itu dapat menerima penjelasan diberikan.
“Namun, mangsa tetap membuat laporan polis berhubung insiden dia diserang demi keselamatan diri, di samping mahu menuntut ganti rugi di atas kerosakan pintu rumah dan kereta dalam kejadian tersebut.
“Hasil laporan itu, seorang anggota polis yang terlibat dalam kejadian telah ditangkap, manakala rakan-rakannya yang lain termasuk suspek utama sedang dikesan,” katanya sambil memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan.











