ROSTOV-ON-DON, Rusia – Polis Rusia menyatakan semalam bahawa pihaknya menerima beberapa ancaman bom di bandar tuan rumah Piala Dunia, Rostov-on-Don, menyebabkan sejumlah bar dan restoran dikosongkan.
“Pada 26 Jun, polis menerima siri panggilan telefon mengenai bahan letupan diletakkan di beberapa lokasi di Rostov-on-Don,” kata polis tempatan dalam satu kenyataan.
“Pihak polis membuat semua pemeriksaan yang diperlukan, manakala tiada objek berbahaya ditemui,” kata kenyataan tersebut.
Seorang anggota polis di hotel Topos Congress, Rostov-on-Don yang dikosongkan sekitar pukul 4 pagi semalam (waktu Malaysia) berkata, sebanyak 16 premis di seluruh bandar itu telah dikosongkan.
Seorang pengurus sebuah restoran makanan Itali di bandar itu memberitahu bahawa kakitangannya diarah meninggalkan bangunan selama dua jam selepas ancaman bom itu diterima.
Sementara itu, seorang jurucakap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) enggan mengulas situasi tersebut.
Bandar Rostov-on-Don yang terletak sekitar 955 kilometer ke selatan Moscow setakat ini menjadi tuan rumah kepada empat perlawanan Piala Dunia termasuk kemenangan 2-1 Croatia menentang Iceland kelmarin, manakala perlawanan seterusnya berlangsung pada Isnin depan. – Reuters











