KLANG 18 Jun – Desas-desus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amiruddin Shari dilantik sebagai Menteri Besar Selangor mungkin menjadi kenyataan setelah beliau dilihat keluar dari Istana Klang di sini hari ini.
Amiruddin keluar meninggalkan istana pada kira-kira pukul 6.25 petang setelah dilihat memasuki pekarangan istana pada kira-kira pukul 5.30 petang menaiki kenderaan sambil melambaikan tangannya.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dilihat meninggalkan istana selepas lima minit Amiruddin keluar.
Sementara itu, menurut sumber istana, pihaknya hanya dimaklumkan bahawa hanya persiapan untuk majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar baharu sedang dijalankan dan bukannya sesi raptai.
Dalam pada itu, Amiruddin ketika dihubungi enggan mengesahkan bahawa dirinya bakal dilantik Menteri Besar Selangor yang baharu dan meminta supaya menunggu sehingga esok.
“Jika kita boleh menunggu tiga minggu untuk pengumuman nama baharu, mengapa tidak boleh tunggu untuk tempoh 24 jam lagi. Saya akan sahkan perkara ini esok,” ujarnya.
Amiruddin yang merupakan satu-satunya Exco PKR yang kekal bersama kerajaan negeri memasuki dua penggal itu kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.
Sebelum ini, pada penggal terdahulu beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.
Jika benar beliau yang terpilih menggantikan Mohamed Azmin, Timbalan Presiden PKR dilihat berjaya menidakkan pengaruh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan cenderung mahukan ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad sebagai Menteri Besar Selangor.
Selain itu, ia juga memperlihatkan isyarat Mohamed Azmin bahawa pihak istana lebih selesa dengan calon pilihannya, sesuai dengan rekod pentadbirannya di Selangor sebelum ini.
Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar negeri ini bagi penggal kedua pada 11 Mei lalu, namun melepaskan jawatan tersebut selepas dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.










