KUALA LUMPUR – Amazon Battery Sdn. Bhd. (Amazon Battery) optimis untuk menjadi perintis dalam industri tenaga hibrid di Malaysia yang dihasilkan daripada tiga sumber semulajadi yang terdiri daripada angin, pancaran sinar matahari dan juga tekanan graviti.
Pengarah Eksekutifnya, Dr. J. Thanabalan berkata, teknologi yang dibawa masuk dari Jerman itu pertama kali seumpamanya diperkenalkan di negara ini malah di rantau Asia bertujuan untuk memberi alternatif kepada industri dalam penjanaan tenaga elektrik daripada kaedah konvensional.
“Tenaga elektrik akan dihasilkan daripada sebuah mesin yang dikenali sebagai Mesin Tenaga Hibrid yang mana ia beroperasi bergantung kepada kadar kelajuan angin, pancaran sinar matahari dan tekanan graviti.
“Setiap mesin yang bakal diimport dari Jerman itu mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 14.5 kilowatt,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pengenalan teknologi tersebut pada majlis berbuka puasa bersama media di Marosh Restoran, Jalan Bukit Bintang di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Amazon Battery, Bo Yik Khoon.
Amazon Battery merupakan pengedar bateri untuk pelbagai jenis automotif di negara ini sejak 25 tahun lalu.
Thanabalan menjelaskan, sebagai projek percubaan di negara ini, syarikat bakal melabur sehingga RM20 juta untuk memasang mesin tersebut di sebuah tapak tanah pertanian seluas dua hektar di Rompin, Pahang.
Menurutnya, projek pemasangan itu bakal dimulakan pada suku ketiga tahun ini dengan melibatkan sebanyak 50 Mesin Tenaga Hibrid.
“Ia merupakan projek percubaan dan kami yakin ia berjaya malah mampu meningkatkan keyakinan kepada usahawan untuk terlibat dalam pelaburan ini,” ujarnya.
Tambah beliau, selain tanah tersebut dipasang dengan mesin berkenaan, ia juga boleh digunakan untuk bercucuk tanam bagi meningkatkan daya saing kawasan pertanian tersebut.











