KUALA LUMPUR 13 Jun – Peminat aplikasi permainan mudah alih semestinya berasa teruja apabila sebuah syarikat pembinaan perisian teknologi maklumat, Alphadena Mobile Sdn. Bhd. memperkenalkan aplikasi terbaharu, ‘Kleptokrazy – Catch The One’ dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai bersama-sama menentang gejala kleptokrasi.
Pengerusi Eksekutif Alphadena Mobile, Feriz Omar berkata, permainan mudah alih ini boleh mula dimuat turun di platform Google Play dalam tempoh tiga hari manakala di platform Apps Store kira-kira dua minggu lagi.
Katanya, Kleptokrazy – Catch The One merupakan sebuah permainan mudah alih bersifat ‘endless game’ yang memaparkan watak seorang pegawai penguatkuasa yang gigih mengejar watak seorang pemimpin politik korup dan mengamalkan rasuah yang dipanggil ‘The One’.
“Gejala kleptokrasi ini dilihat semakin menular apabila ramai dalam kalangan rakyat terutamanya pemimpin politik telah lupa kepada asas kepemimpinan yang baik dan terpalit dengan perkara ini, jadi kami mengambil tanggungjawab ini untuk mendidik generasi muda tentang betapa negatifnya kleptokrasi dan perlu ditolak habis-habisan.
“Ini juga merupakan agenda murni kita untuk memastikan orang ramai memahami apakah itu kleptokrasi dan pada saya pasukan di Alphadena Mobile telah menterjemahkan maksud itu dengan baik dalam permainan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











