SHAH ALAM 28 Jun – Taktik sebuah syarikat alat ganti rugi yang menjual aksesori kenderaan jenis Kia dan Hyundai tiruan sejak lima tahun lalu terbongkar apabila premis itu diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor.
Dalam operasi yang berlangsung selama dua hari sejak semalam bermula pukul 10 pagi itu, turut diserbu sebuah lagi premis yang menggunakan modus operandi sama iaitu mempamerkan alat ganti kereta tiruan dan tulen serentak bagi mengaut keuntungan atas angin.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, bertindak atas maklumat pengguna, pihaknya menjalankan operasi di sekitar Shah Alam, Gombak dan Puchong, Selangor.
Katanya, hasil risikan, sebanyak enam buah premis yang dipercayai menjual alat ganti kenderaan tiruan telah diperiksa dan mendapati dua daripadanya melakukan kesalahan tersebut.
“Daripada serbuan, kita berjaya merampas sebanyak 123 buah alat ganti tiruan pelbagai jenis berjenama Kia dan Hyundai antaranya tali sawat, penapis minyak, penapis udara, penapis bahan api dianggarkan bernilai RM24,060.
“Buat masa ini, kita sedang menjalankan siasatan dan maklumat awal daripada pemilik premis mengatakan peralatan tiruan itu diperolehi di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011. – UTUSAN ONLINE











