IPOH 28 Jun – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, hasil pertemuannya dengan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi di seluruh negara membayangkan mereka mahukan UMNO bersikap lebih terbuka, telus dan mempunyai tadbir urus yang lebih bertanggungjawab.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, ramai yang turut mendesak supaya UMNO bersifat lebih demokratik melalui pendekatan ‘bottom up’ di mana suara akar umbi diteliti oleh kepemimpinan parti dalam sebarang penggubalan dasar yang menjadi asas perjuangan.
“Keadaan yang kita lalui ini perlu dibaiki walaupun perjuangan UMNO tidak perlu disentuh kerana ia sempurna, tiada apa yang salah mengenainya. Cuma kredibiliti dan integriti kita yang dipersoalkan oleh sesetengah pengundi, itu yang kita kena baiki.
“Saya sudah ke Sabah, Johor, Melaka, Pahang dan ke Perlis, Pulau Pinang dan Alor Setar, ini yang dibayangkan semasa sesi soal jawab. Integriti bukannya tidak pernah berlaku tetapi mereka hendak inilah yang mesti dijadikan amalan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi terakhir perjumpaannya bersama peringkat akar umbi ke negeri ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, UMNO mesti lebih kuat dan perlu meyakinkan rakyat bahawa parti itu bersedia untuk mengambil alih pemerintahan.
“Banyak orang yang mengundi Pakatan Harapan (PH) menyesal dengan kenyataan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin dalam PH pada hari ini,” kata Tengku Razaleigh yang turut yakin dengan sokongan akar umbi dari negeri Perak.
Dalam perkembangan berlainan, ditanya mengenai situasi keluar parti melibatkan dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Perak, Tengku Razaleigh berkata, pihaknya tidak menggalakkan ia berlaku.
Menurutnya, justeru parti mungkin akan berbincang dengan wakil rakyat berkenaan selepas ini ekoran keputusan itu tidak menepati aspirasi rakyat setempat yang memilih untuk mewakili suara mereka.
Selain itu, beliau tidak merasakan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencecah RM1.1 bilion oleh polis boleh menjejaskan UMNO kerana ia tidak berkaitan dengan parti, sekiranya ia benar. – UTUSAN ONLINE











