Ahmed Musa bikin 'Super Eagles' terbang tinggi - Utusan Malaysia

Ahmed Musa bikin ‘Super Eagles’ terbang tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Wakil Afrika, Nigeria kembali mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA selepas menewaskan pendatang baharu, Iceland 2-0 pada aksi kedua Kumpulan D di Volgograd Arena, Volgograd, Rusia sebentar tadi. 

Kejayaan ini menyaksikan Nigeria menghuni tangga kedua kumpulan di belakang pendahulu Croatia dengan tiga mata mengatasi Argentina dan Iceland yang masing-masing mengutip satu mata.

Dua gol daripada penyerang Leicester City, Ahmed Musa pada minit ke-49 dan ke-75 berjaya memberi kelegaan buat pasukan Super Eagles itu yang ketandusan idea menembusi benteng Iceland sepanjang babak pertama.

Kedua-dua pasukan ini turun dalam misi mencari kemenangan pertama dan mula saling serang menyerang antara satu sama lain sejak awal permainan, namun penyudah yang dicari tidak kunjung tiba.

Namun, Nigeria, pasukan No. 48 dunia dan beraksi buat kali kelima dalam kempen ini, dilihat gagal menyaingi ketenangan dan kehebatan Iceland, pasukan No. 22 dunia yang tidak gugup di atas padang meskipun ini penampilan sulung mereka.

Sebaliknya, skuad ‘Strákarnir Okkar’ itu lebih banyak mencipta peluang jaringan dengan gerakan serta larian pantas, sekali gus hampir memerangkap Nigeria yang memiliki sebahagian pemain berpengalaman beraksi bersama kelab England seperti penyerang Chelsea, Victor Moses dan Musa serta Kelechi Iheanacho dari kelab Manchester City.

Bagaimanapun semuanya berubah sebaik babak kedua bermula apabila Nigeria mula menguasai permainan dan melancarkan serangan dengan lebih tersusun.

Usaha mereka itu akhirnya membuahkan hasil apabila Moses berjaya menembusi bahagian kiri pertahanan Iceland sebelum membuat hantaran lintang yang berjaya dikawal baik oleh Musa dan merembat masuk dengan tenang gol pertama Nigeria dalam kempen ini.

Kelincahan Musa sekali lagi memberi masalah kepada pertahanan Iceland apabila mudah meloloskan diri dan mengelecek tiga pemain lawan sebelum meledakkan gol kedua buat Nigeria pada minit ke-75, sekali gus meranapkan impian lawannya itu untuk bangkit.

Hasrat Iceland untuk bangkit merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti tidak berhasil apabila Gylfi Sigurðsson gagal menyempurnakannya, sekali gus menyaksikan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan.

Peluang Nigeria untuk mengulangi pencapaian 2014 di Brazil dengan layak ke pusingan kalah mati kini bergantung kepada kemenangan ke atas Argentina pada aksi terakhir awal pagi Rabu depan sambil berharap Croatia yang telah pun layak ke pusingan tersebut, membantu mereka dengan menewaskan Iceland pada hari yang sama.

Namun, ia bukan tugas yang mudah kerana Argentina, juara dunia dua kali dan juga Iceland, pastinya akan turun bermati-matian memburu kemenangan yang sama bagi mengelak daripada pulang awal dalam kempen di Rusia ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN