IPOH 17 Jun – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti hujung bulan ini walaupun ada desakan supaya beliau berbuat demikian.
Sumber menjelaskan bahawa Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden akan tetap bertanding walaupun bakal ditentang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Tidak timbul soal beliau akan menarik diri. Beliau bukan orang yang sedemikian (menarik diri). Tak gentlemanlah kalau beliau memberi laluan kepada orang lain,” kata sumber tersebut ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkenaan mengulas desakan beberapa pihak yang menyarankan agar Ahmad Zahid tidak bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan parti dan memberi laluan kepada Tengku Razaleigh.
Malah Veteran UMNO Perak mengusulkan agar Tengku Razaleigh dipilih sebagai Presiden UMNO tanpa ditandingi dan Ahmad Zahid pula dipilih tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.
Hari ini, Khairy turut mengesahkan bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO kali ini.
Tambah sumber tersebut, tiada sebab untuk Ahmad Zahid menarik diri kerana pemilihan parti merupakan amalan demokrasi yang diterjemahkan melalui pemilihan parti.
Katanya, Ahmad Zahid tetap bertanding kerana yakin mempunyai kekuatan sendiri untuk mengemudi parti berdasarkan pengalamannya bersama UMNO sejak sekian lama.
“Pertandingan ini tidak sekadar untuk menjadi Presiden parti tetapi juga untuk menjadi ketua pembangkang di Parlimen, Ahmad Zahid mempunyai kelebihan di situ.
“Pertandingan ini juga menarik kerana melibatkan tiga generasi dalam UMNO iaitu Khairy mewakili orang muda, Ahmad Zahid mewakili golongan pertengahan manakala Tengku Razaleigh daripada golongan veteran,” katanya.










