KOTA BHARU 19 Jun – Pas berpandangan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kelayakan sempurna untuk diangkat sebagai Presiden UMNO pada pemilihan hujung bulan ini.
Ini kerana Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden adalah individu yang mempunyai pakej lengkap bagi meneruskan agenda perubahan dalaman parti keramat itu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bukanlah niat beliau untuk mencampuri urusan dalaman UMNO, namun, parti itu dilihat mempunyai kecenderungan untuk berubah.
“UMNO mempunyai kekuatan 3 juta ahli, cuma dalam konteks kepemimpinan perlu penyusunan dan reformasi dalaman selepas Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan presiden.
“Saya fikir Ahmad Zahid lebih mampu meneruskan cabaran walaupun ada pandangan yang melihat potensi Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin sebagai pencabar terdekat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Pas Kelantan di Madinah Ramadan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, persaingan sengit bagi merebut jawatan Presiden UMNO merupakan amalan demokrasi yang diterjemahkan melalui pemilihan parti berkenaan.
“Generasi muda memang menyukai Ketua Pemuda UMNO, Khairy, tetapi dalam menentukan hala tuju parti saya kira Ahmad Zahid masih layak menjadi nakhoda UMNO kelak,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










