KUALA LUMPUR 6 Jun – Pengerusi Biro IT dan Media Sosial UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan memanfatkan pengalamannya untuk membina UMNO baharu bagi meraih kembali sokongan rakyat kepada parti itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian telah menyerahkan borang pemilihan jawatan Ahli Majlis Tertinggi semalam dan mengharapkan gabungan muka baharu serta lama dapat membentuk proses peremajaan UMNO.
Selain itu, katanya, pemilihan kali ini juga dapat membuktikan amalan demokrasi dalam parti itu untuk melakukan perubahan yang lebih baik.
“Apa yang penting adalah perjuangan demi bangsa, agama dan tanah air yang kini dilihat semakin diperkotak-katikkan.
“Itulah sebab mengapa saya memutuskan untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi pada pemilihan akan datang selepas berada dalam pentas politik sejak tahun 1989,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau mahu memperkasakan unit media sosial dan sumber teknologi maklumat parti itu nanti jika dipilih dalam pemilihan nanti.
“Penyebaran maklumat sekarang bukan seperti dahulu. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dah menang dan media dikawal oleh mereka. Jadi selain alif ba ta, saya juga mahu menambah baik media sosial untuk dijadikan wadah berpengaruh parti,” jelasnya.











