Ahli UMNO perlu pastikan kepimpinan baharu tidak lari dari kehendak rakyat - Utusan Malaysia

Ahli UMNO perlu pastikan kepimpinan baharu tidak lari dari kehendak rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI 22 Jun – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta ahli parti untuk memastikan barisan kepimpinan baharu yang akan dipilih tidak lari daripada kehendak rakyat, sekali gus UMNO mesti mendengar suara mereka.

Ini kerana, menurutnya, salah satu pengajaran daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah parti itu gagal mendengar suara rakyat.

Justeru, beliau menyeru semua ahli UMNO untuk membuat perubahan sekarang dan bukannya membuat pilihan berbentuk ‘sementara’ dalam pemilihan pucuk pimpinan parti pada 30 Jun ini.

“Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah, tetapi pemilihan parti dapat perhatian umum temasuklah daripada Pakatan Harapan, mereka nak tahu sama ada UMNO boleh berubah atau tak dan akan menggunakan pemilihan kali ini sebagai satu indikasi atau tanda sama ada UMNO sudah bersedia untuk berubah atau tidak.

“Sebab itu saya tawarkan diri kerana mahu membawa suara perubahan…perubahan jangan hanya perubahan tetapi perlu disusuli dengan cadangan untuk melakukan perubahan, bagaimana nak perkukuhkan parti seperti yang saya sudah dan akan utarakan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh, di sini sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin tidak menafikan beliau antara pemimpin yang bertemu dan memujuk seorang lagi calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan itu.

“Ya, pada masa itu saya dan juga beberapa pemimpin yang lain menggalakkan supaya Tengku Razaleigh menawarkan diri untuk bertanding kerana kita nak ada pilihan, namun demikian itu, tidak bermaksud saya sendiri tidak bertanding.

“Biarlah ada pilihan untuk perwakilan dan kita meraikan demokrasi terbuka. Tidak salah kalau saya tawarkan diri mewakili generasi dan pemandangan idea berbeza sedikit daripada Tengku Razaleigh dan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN